Wednesday, July 31, 2024

Program santai sarapan bulan Julai 2024








Program santai sarapan bulanan bersama ahli Kelab Pesara Guru Besar Daerah Kuala Selangor yang diketuai oleh Tn Hj Zainon b Kassim di Warung Sedulur, Jalan Saga, Ijok pada 31 Julai 2024 (Rabu).


Pemilik warung adalah Pn Marzilawati binti Kamari, mantan Pembantu Tadbir Kanan di Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Selangor yang kini telah bersara wajib.







 

Friday, July 19, 2024

Menyampaikan Hasrat untuk Menduduki Semula Rumah Milik Pejabat Daerah Kuala Selangor






Pada 19 Julai 2024 (Jumaat) jam 10:30 pagi, Persatuan dengan penuh bersemangat dan harapan yang tinggi telah menyampaikan hasrat secara bersurat kepada Yang Berusaha Tuan Pegawai Daerah / Tanah Kuala Selangor untuk menduduki semula Rumah Penginapan di Jalan Dato' Hamzah, Kuala Selangor. Rumah ini diusulkan oleh Persatuan untuk digunakan sebagai tempat penginapan bagi pelajar Kolej Tingkatan Enam Sultan Abdul Aziz Kuala Selangor yang tinggal jauh dengan bayaran yang berpatutan.

Pertemuan rasmi telah diadakan dengan Puan Siti Rohani Binti Mat Desa, Pembantu Tadbir Kanan (P/O) N22 (Pengurusan Data) Bahagian Khidmat Pengurusan, Pejabat Daerah / Tanah Kuala Selangor, serta Puan Nadiya Binti Nor Hatim. Dalam pertemuan ini, Persatuan telah menjelaskan kepentingan lokasi strategik Rumah Penginapan tersebut yang terletak berdekatan dengan Kolej. Kelebihan ini membolehkan pelajar berjalan kaki dalam masa yang singkat untuk sampai ke kampus yang terletak hanya 50 meter sahaja jaraknya.

Semoga usaha ini membuahkan hasil dan memberi manfaat kepada pelajar dan komuniti Kolej Tingkatan Enam Sultan Abdul Aziz Kuala Selangor. Jika diluluskan, Persatuan akan berusaha sebaik mungkin untuk mencari dana guna memperbaiki infrastruktur bangunan agar lebih baik dan kondusif serta selamat untuk didiami.









 

Thursday, July 18, 2024

Program Intervensi Berkala Penuaan Sihat Warga Emas Siri 1




Susulan Festival Penuaan Sihat Warga Emas @ Tanjong Karang pada 6/07/2024 (Sabtu) yang lalu, Program Intervensi Berkala Penuaan Sihat Warga Emas diteruskan lagi. Siri 1, yang melibatkan 6 siri, telah bermula pada 18/07/2024 (Khamis), jam 9:00 pagi - 12:00 tengah hari, bertempat di Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Parlimen Tanjong Karang.

Ceramah telah disampaikan oleh Dr. Nur Anisa Binti Mohd Nasir, Pegawai Perubatan Sarjana (MInTFM Trainee), Klinik Kesihatan Tanjong Karang dengan tajuk "Memahami Demensia".

Secara ringkasnya, Demensia adalah keadaan yang menjejaskan otak dan menyebabkan penurunan daya ingatan, cara berfikir, dan keupayaan untuk menjalankan aktiviti harian. Berikut adalah beberapa perkara penting tentang Demensia:

 1. Apakah Demensia?
    - Demensia bukanlah satu penyakit tertentu, sebaliknya satu istilah yang menggambarkan simptom sekumpulan penyakit yang menjejaskan otak.
    - Gejala termasuk penurunan ingatan, keupayaan untuk bercakap, memahami maklumat, dan menilai situasi.
    - Penghidap Demensia mungkin mengalami kesukaran untuk mengatasi dan mengawal emosi.
    - Perubahan personaliti juga boleh berlaku.

 2. Siapa yang berisiko untuk Demensia?
    - Risiko Demensia meningkat dengan usia.
    - Kebanyakan penghidap Demensia adalah warga emas, tetapi tidak semua warga emas mengalaminya.
    - Faktor risiko termasuk tekanan darah tinggi, kekurangan aktiviti fizikal dan mental, dan faktor genetik.

 3. Punca Demensia:
    - Penyakit Alzheimer: Penyebab yang paling biasa, menjejaskan kira-kira dua pertiga daripada semua kes.  Berlaku akibat kerosakan sel saraf di dalam otak.
    - Demensia Vaskular: Disebabkan oleh kerosakan pada saluran darah di otak, sering dikaitkan dengan strok.

Ingat bahawa Demensia boleh dicegah dan dirawat dengan penjagaan yang betul.  Jika anda atau seseorang yang rapat dengan anda mengalami simptom Demensia, segera dapatkan nasihat doktor untuk diagnosis dan rawatan lanjut.






Saturday, July 13, 2024

Penolong Amil Kariah Terbaik Daerah Kuala Selangor




Sekalung Tahniah diucapkan kepada Cikgu Haji Ishak bin Itam dari Masjid Ar-Raudhah Pekan Tanjung Karang yang merupakan Bendahari Persatuan 5PM Daerah Cawangan Kuala Selangor kerana telah mendapat anugerah
Penolong Amil Kariah Terbaik Daerah Kuala Selangor oleh Lembaga Zakat Selangor dengan membawa pulang sijil penghargaan dan wang tunai RM600 di Majlis Apresiasi, Ketua dan Penolong Amil Kariah Terbaik Daerah Kuala Selangor pada 13/07/2024 (Sabtu) jam 8:00 pagi - 12:00 tengah hari bertempat di De Palma Eco Resort Kuala Selangor.

Anugerah telah disampaikan oleh YDH Dato' Haji Mohamad Yaacob bin Dato' Ismail, Dato' Penggawa Permatang Paduka Maha Bijaya Orang Besar Daerah Kuala Selangor.

Kami semua berasa bangga dengan pencapaian tersebut!👏👍💪


 

Thursday, July 11, 2024

Coretan Program Sambutan Ma'al Hijrah 1446H






Syukur Alhamdulillah dan tahniah diucapkan kepada Wakil 5PM Daerah Cawangan Kuala Selangor yang juga merupakan Ahli Jawatankuasa Persatuan, Ustazah Hjh Siti Eshah bt Hanafi, kerana telah memenangi soalan cepumas Kuiz Ma'al Hijrah sempena Program Sambutan Ma'al Hijrah 1446H di Daerah Gombak. Beliau telah menerima buku-buku ilmiah keagamaan dan bahan-bahan masakan daripada pihak penganjur yang telah disampaikan oleh Panel Jemputan, Al-Fadhil Ustaz Yusri bin Ariffin. Kami semua berasa bangga dengan pencapaian tersebut! 👏👍

Delegasi 5PM Daerah Cawangan Kuala Selangor juga telah mendapat pujian dari pihak Urus Setia Pendaftaran Majlis Ma'al Hijrah kerana berpakaian seragam yang cantik. Kuala Selangor sentiasa hebat dari segi komitmen, penampilan, persembahan, dan kerjasama berpasukan. 💪








 

Wednesday, July 10, 2024

Program Sambutan Ma'al Hijrah 1446H









Program Sambutan Ma'al Hijrah Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Peringkat Negeri Selangor Tahun 2024M/1446H. Program diadakan pada 11/07/2024 (Khamis) bermula jam 8:00 pagi hingga 12:00 tengah hari, bertempat di Masjid Al-Firdaus, Bandar Baru Selayang. Anjuran bersama Persatuan  Pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Peringkat Negeri Selangor dan Daerah Cawangan Gombak Baharu serta Masjid Al-Firdaus, Bandar Baru Selayang.


Di program tersebut telah diadakan Forum Ma'al Hijrah yang bertajuk "Hijrah Mencari Redha Allah", bersama Panel Jemputan iaitu Ustaz Yusri bin Ariffin, seorang Penceramah Bebas bertauliah JAIS sekitar Lembah Klang, Penceramah Motivasi Remaja dan Pembimbing Haji dan Umrah. 

Seorang lagi Panel Jemputan ialah Ustaz Eddyanto bin Sutijo, Penolong Pengarah, Bahagian Pendidikan Islam, Kementerian Pendidikan Malaysia.

Manakala Moderatornya, Encik Kamarul bin Jamaludin, merupakan lepasan Madrasah Al-Aminiah Bertam Tahfiz Vokasional, Makmawiah Ad-Diniah Changwat Pattani, Madrasah Manabiul Ulum Kampung Kubang Ulu Butterworth Pulau Pinang dan Al-Azhar University Kaherah Mesir.

Turut hadir dan memberikan ucapan perasmian ialah Tuan Hj. Muhammed Adzhar bin Alias, Yang Dipertua 5PM Negeri Selangor merangkap Pengerusi 5PM Daerah Cawangan Kuala Selangor, serta Encik Mohamad Alwan bin Ginen, Pengerusi 5PM Daerah Cawangan Gombak Baharu selaku Tuan Rumah serta Pengerusi dan Ahli Jawatankuasa Daerah Cawangan seluruh Negeri Selangor.
 

Gagasan Rumpun Selangor

 



Merafak sembah dan menjunjung setinggi-tinggi kasih di atas keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, Raja Muda Selangor, berkenan berangkat ke Daerah Kuala Selangor dalam program Gagasan Rumpun Selangor pada hari Rabu hingga Jumaat, 10 - 12 Julai 2024 bersamaan 4 - 6 Muharram 1446H.

Setiausaha Persatuan turut dijemput hadir ke salah satu majlis tersebut yang bertempat di Medan Selera Sungai Buloh Jeram, pada 11/07/2024 (Khamis) jam 9:00 pagi.










Mesyuarat Khas Majlis Apresiasi dan Hi-Tea 2024

 
















Mesyuarat Khas Majlis Apresiasi dan Hi-Tea 5PM Daerah Cawangan Kuala Selangor ini telah diadakan pada 10/07/2024 (Rabu) dari jam 10:00 pagi - 12:00 tgh., bertempat di Pejabat Pertubuhan Perkumpulan Perempuan (WI) Daerah Kuala Selangor, Jalan Malawati, Kuala Selangor.

Majlis ini akan diadakan pada 25/08/2024 (Ahad) jam 2:00 petang di Hotel Sunflower Pasir Penambang. Bertujuan untuk menyampaikan penghargaan kepada Ahli Jawatankuasa lama dan menyampaikan tauliah kepada barisan kepimpinan yang baru. Tidak terkecuali akan menyampaikan cenderamata dan sijil penghargaaan kepada mantan Ketua Pegawai PPD Kuala Selangor dan beberapa mantan Pengarah sebagai menghargai jasa bakti semasa berkhidmat di daerah Kuala Selangor.


Saturday, July 6, 2024

Festival Penuaan Sihat Warga Emas @ Tanjong Karang, Selangor




















Festival Penuaan Sihat Warga Emas @ Tanjong Karang, Selangor telah diadakan pada 6/07/2024 (Sabtu) dari jam 8:00 pagi - 1:00 tengah hari, di Klinik Tanjong Karang. Majlis dirasmikan oleh En Mohd Saiful b Abu Kair, Penghulu Mukim Tanjong Karang 1. Antara tetamu yang hadir ialah YBrs Dr. Farhani bt Samad, Ketua Kesihatan Klinik Tanjong Karang. YBrs Dr Munawar Helmi, dari Institut Sukan Negara merangkap Ketua Pengarah BeVital, Dr. Noor Harzana bt Harrun, Pakar Kesihatan Keluarga, dan ramai lagi.

Cikgu Hjh Norlizah bt Md Sanusi, isteri Bendahari, Tn Hj Ishak b Itam, telah membawa pulang hadiah cabutan bertuah, satu daripada 10 yang disediakan, tahniah!