Sejarah Penubuhan Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia
Idea penubuhan persatuan ini telah dicetuskan oleh YB Tan Sri Datuk Amar Dr. Haji Sulaiman bin Haji Daud, Menteri Pendidikan Malaysia dalam Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan pada 16/05/1991 (Khamis), di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Saranan tersebut telah disentuh sekali lagi setahun kemudian dalam Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan pada 16/05/1992 (Sabtu), bertempat di Dewan Tuanku Canselor Universiti Malaya.
Negeri Selangor telah memberi kesanggupan yang amat menggalakkan dengan bersetuju menjadi tuan rumah bagi mengadakan satu perjumpaan membincangkan penubuhannya, dan akan menjemput rakan pesara pendidikan dari seluruh negara menghadirinya. Perjumpaan ini telah diadakan pada 2 Ogos 1992 (Ahad) jam 10.00 pagi bertempat di Dewan Kuliah Utama, Maktab Perguruan Bahasa, Lembah Pantai, Kuala Lumpur.
Setelah melalui beberapa proses, akhirnya, Persatuan Bekas Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia telah dilancarkan secara rasmi pada 4 Oktober 1992 (Ahad), bertempat di Dewan Perdana FELDA, Kuala Lumpur oleh YB Tan Sri Datuk Amar Dr. Haji Sulaiman bin Haji Daud, Menteri Pendidikan Malaysia ketika itu. Didaftarkan secara rasminya pada 30 Mac 1993 (Selasa), di Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia Negeri Selangor.
Nombor Pendaftaran: PPM-003-10-30031993
Jawatankuasa Agungnya diketuai oleh YBhg Tan Sri Dato’ Prof Emeritus Dr. Awang Had bin Salleh, mantan Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia dan seterusnya Naib Canselor Pertama Universiti Utara Malaysia dan mantan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia.
Cawangan Negeri Selangor pula didaftarkan di Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia Negeri Selangor (ROS) pada 30 November 1994 (Rabu).
Nombor Pendaftaran: PPM-003-10-30031993-000010
Daerah Cawangan Kuala Selangor didaftarkan di Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia Negeri Selangor (ROS) juga pada 30 November 1994 (Rabu).
Tujuan Penubuhan
1. Menyatu dan mempereratkan hubungan pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan di seluruh negara di dalam satu organisasi.
2. Mewujudkan persefahaman, kerjasama dan perpaduan di antara para ahli.
3. Mewujudkan kerjasama sebanyak yang boleh dan bersesuaian kepada Kementerian Pendidikan terutama di bidang profesion pendidikan dan perkara-perkara yang berkaitan dengannya.
4. Berusaha menjaga imej dan martabat Pesara Pendidikan Malaysia serta menyambung daya juang ahli-ahli untuk kepentingan bangsa, agama dan negara.
5. Memperjuangkan kebajikan dan kepentingan yang ahli-ahli perlukan sama ada fizikal atau bukan fizikal.
6. Membantu memudahkan untuk menyelesaikan keperluan atau masalah ahli.
7. Menyertai kegiatan kebajikan atau pembangunan negara sama ada secara persatuan atau bergabung dengan organisasi yang lain.
8. Memperoleh, membeli, menjual, menyewa dan memiliki apa juga harta atau aset yang sesuai untuk keperluan dan kepentingan persatuan dan masyarakat seluruhnya. Bagi menyempurnakan tujuan ini persatuan bolehlah menubuhkan apa-apa entiti, syarikat, badan korporat atau yayasan dan sebagainya yang diluluskan.
9. Bekerjasama dengan Kerajaan, mengadakan latihan dan kursus kepada bakal pesara dan pesara, sama ada bersendiri atau dengan bantuan/kerjasama pihak lain yang wajar.
10. Mewujudkan hubungan dan kerjasama dengan persatuan lain yang wajar untuk kemudahan dan kepentingan ahli.
Aktiviti:
- Mengukuhkan silaturrahim di kalangan semua pesara. Menggerakkan aktiviti-aktiviti yang memperhatikan aspek kesihatan, perpaduan, dan kesejahteraan pesara.
Kelebihan Keahlian:
- Mengemukakan usul-usul kepada pihak kerajaan melalui persatuan.
- Meluangkan masa bersama dengan kegiatan berfaedah.
- Berpeluang bersosial dan menjalankan aktiviti bagi mengisi masa lapang.
Rumusan:
Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia Daerah Cawangan Kuala Selangor terus mendokong cita-cita persatuan peringkat pusat dan negeri dalam melaksanakan aktiviti yang disarankan dalam perlembagaan, kegiatan yang diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan dan program untuk kebajikan ahli.
Sentiasa mengikuti perkembangan pendidikan, pensyarah di pusat pengajian tinggi, pegawai Kementerian Pendidikan, Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah dan sekolah, dan profesion keguruan negara demi kesinambungan hubungan baik dengan warga pendidikan yang masih berkhidmat dan yang sudah bersara di negeri dan daerah ini juga seluruh negara.
Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan akan terus menjayakan inspirasi hari ini melalui pengalaman dalam perkhidmatan kami dan kepentingan pendidikan negara.
"BERKHIDMAT SEPANJANG HAYAT"
Admin:
Shamsuddin bin Abu Abas
Setiausaha.
24/04/2024.
No comments:
Post a Comment